Followers

Pages

Wednesday, March 2, 2011

Perutusan YDP MPP UNIMAS sesi 2010/2011

Assalamualaikum,
Salam sejahtera kepada semua.


    Saya mengungkapkan penghormatan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010/2011 ini .Saya ingin mengungkapkan kebahagiaan dan perasaan rendah diri yang menyelimuti diri ini saat berada di tengah-tengah kalian.Saya mengharapkan bimbingan daripada pihak pentadbiran dan kerjasama daripada sahabat MPP dan seluruh mahasiswa/i UNIMAS sekalian untuk bersama-sama mengorak langkah dan melakar sejarah.Sama-sama kita mencipta cerita yang baru ataupun kita akan terus mengulangi sejarah yang lama.Sungguh,saya tidak mampu mengungkapkan segalanya kerana jauh di sanubari ini sedang merasai kecintaan,kerjasama yang erat,persaudaraan yang tulus dan semangat berpasukan yang kukuh sesama kita.Semoga Allah memberikan taufiq kepada kita semua untuk melakukan kebajikan di bumi UNIMAS yang tercinta ini.

     Kita sebenarnya mungkin sudah bekerja untuk membawa para mahasiswa kita kepada satu kesatuan terutama dalam arus dunia dan segala tipudayanya yang sentiasa mengelirukan para mahasiswa kita.Namun,bekerja tanpa penyusunan dan perancangan serta tanpa mengambil pengalaman daripada mereka yang terdahulu tentunya sukar untuk meraih kemenangan dalam memenangi hati-hati para mahasiswa yang semakin kompleks dan dinamik.Lebih-lebih lagi suasana di UNIMAS ini yang mempunyai mahasiswa dan mahasiswi yang berbilang kaum,agama dan adat resam.Segala pertelingkahan boleh menjadi isu sensitive dan jika kita tidak bijak dalam menanganinya,kita mungkin berhadapan dengan masalah yang besar.Jadilah seperti pokok,tidak hanya mengambil air sebagai sumber tumbesarannya,Tetapi juga memerlukan cahaya matahari dan mineral galian untuk memastikan kelangsungan hidupnya.Oleh hal yang demikian,kita perlukan kepakaran dan usaha yang luar biasa bagi mencapai tujuan murni membawa anak bangsa dan agama kita kelandasan sebenar agar kita menjadi asset berharga dan bukannya masalah kepada agama,bangsa dan Negara.

    Sebagai langkah permulaan yang baik daripada kami untuk meningkatkan kebajikan terhadap teman-teman mahasiswa,barisan MPP UNIMAS sesi 2010/2011 telah menstruktur semula portfolio-portfolio exco MPP kepada portfolio-portfolio yang lebih mesra pelajar,jelas kerjanya dan seimbang tugasnya.Exco-exco tersebut ialah:

1)Exco Pembangunan Sahsiah dan Modal Insan
2)Exco Akademik dan Kaunseling
3)Exco Kerjaya,keusahawanan dan Inovasi
4)Exco Pengangkutan,Penempatan dan Keselamatan
5)Exco Protokol,Perhubungan Awam dan Antarabangsa
6)Exco Kesenian,Kebudayaan dan Perpaduan
7)Exco Kesihatan,Sukan dan Rekreasi
8)Exco Publisiti dan Media

    4 orang Majlis Tertinggi yang terdiri daripada YDP,NYDP,SU Agong dan Bendahari akan mengambil alih tugas ‘exco aduan dan kebajikan’ yang lepas  dimana para mahasiswa boleh berhubung terus dengan Majlis Tertinggi ini,jika ingin membuat aduan mengenai kecemasan,kemalangan dan kehilangan nyawa.Kami sependapat bahawa pembentukan exco-exco ini lebih mesra pelajar dan gerak kerja kami akan lebih berfokus.

Teman-teman yang saya kasihi sekalian,

UNIMAS ini tidak sesak dengan mahasiswanya
Tetapi UNIMAS ini sesak dengan kepelbagaian akhlak mahasiswanya.

      Sesungguhnya,masyarakat Malaysia ini terbentuk daripada peribadi manusia dan lingkungan yang melingkupinya serta nilai-nilai yang tulus di dalamnya.Jika unsur-unsur ini terjalin dengan seimbang bererti masyarakat itu akan kukuh dan matang.Golongan mahasiswa adalah unsur pilihan terpenting yang paling banyak peranannya dalam pembentukan masyarakat dinamis dan berpengetahuan.Masyarakat ini mampu bangkit bersama aktivisme mahasiswa yang berintelektual dan saling bertukar idea.

Warga UNIMAS yang dikasihi,

      Jarak antara kekalahan dan kemenangan itu dekat,perlu ada satu kelompok peneraju yang jujur,berilmu dan peka yang memahami keutamaan kerja,bekerja untuk merealisasikannya dengan penuh kesabaran,berakhlak mulia berlandaskan prinsip moral yang sangat tinggi.Juga perlu ada pemimpin yang peka dan matang,mempunyai matlamat yang jelas dan metod bergerak yang baik.Dengan bekalan ini,kejayaan organisasi kita semakin hampir.Golongan mahasiswa adalah generasi harapan bangsa Malaysia.

            Semoga warkah kali ini mengundang berkat.Ingatlah rakan seperjuangan MPP sekalian,bermula hari ini,tanggungjawab kita melebihi masa yang kita ada.

Salam Kasih Sayang,
Muhammad Mus'ab Muzahar,
YDP MPP UNIMAS sesi 2010/2011


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...