Followers

Pages

Wednesday, September 21, 2011

Pengalaman Unik Memasuki Gaza Berseorangan Diri. (siri1)

 Pengalaman Unik Memasuki Gaza Strip,Palestine Berseorangan Diri.

Melepasi sekatan tentera..


Alhamdulillah, saya selamat tiba di Cairo International Airport pada 21/8/2011 jam 1620. Saya disambut oleh adik kandung saya yang belajar di Universiti Al Azhar,Mesir dan rakan-rakan daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia. Turut menunggu ketibaan saya ialah saudara Muhammad bin Kamal Hebawy, seorang rakan dari mesir yang ditugaskan untuk menemani saya ke sempadan Mesir-Rafah. Tanpa melengahkan masa, saya terus di bawa menaiki teksi dan meneruskan perjalanan ke Al Arish, sebuah perkampungan yang paling hampir dengan sempadan Mesir-Rafah. Jam saya menunjukkan jam 1.30 pagi waktu Malaysia. Tetapi waktu Mesir ialah 4.30 petang. Saya tersenyum. Sebenarnya saya sangat lapar kerana masih belum berbuka puasa semenjak bertolak dari Malaysia. Saya mengharapkan mereka berhenti untuk berbuka puasa. Rupa-rupanya perjalanan ke Al Arish yang mengambil masa selama 5 jam itu diteruskan dan kami hanya berbuka dengan kurma-kurma yang dilemparkan oleh sukarelawan-sukarelawan ditepi jalan.

Malam itu kami menginap di sebuah hotel bajet. Perjalanan diteruskan pada keesokan paginya dengan menaiki sebuah teksi panjang yang mampu memuatkan 9 orang penumpang. Tiba-tiba teksi berhenti secara mengejut dan mengarahkan saya dan Muhammad turun. Jauh dari pandangan, saya melihat pagar yang besar dan kekuningan. Pagarnya tertutup rapat. Saya makin bimbang. Kami diarahkan untuk berjalan kaki untuk sampai ke Pagar Sempadan Mesir dan Rafah ini. 

Perkara yang paling merunsingkan saya ialah bagaimana utntuk berjumpa dengan 10 aktivis Aqsa Syarif yang telah berjaya melepasi sempadan rafah lebih awal daripada saya. Memandangkan saya terlewat 1 hari, saya terpaksa memasuki sempadan Rafah ini berseorangan diri. Saya sebenarnya sedah terputus hubungan dengan aktivis yang lain memandangkan no Celcom saya sudah tidak dapat digunakan dan no Mesir yang diberikan oleh adik saya juga tidak dapat digunakan sebaik sahaja tiba di sempadan mesir-Rafah. 

Perkara yang turut terlintas dalam fikiran saya ialah mengenai situasi yang tidak menentu yang berlaku di Semenanjung Gaza ini. Pada Khamis 18hb Ogos, 2 hari sebelum saya bertolak, tentera Israel telah mengebom sebuah rumah di Rafah dan telah mengorbankan 6 orang awam. Sukar untuk saya membayangkan apa yang bakal saya hadapi memandangkan Rafah adalah kawasan pertama yang bakal saya lalui sebelum Khan Younis, Gaza City dan seterusnya.

Saya nekad. Walau apa pun yang berlaku, saya mesti melangkah masuk ke Palestin. Saya menggalas amanah yang sangat besar. Saya satu-satunya mahasiswa dalam kalangan aktivis Aqsa Syarif ini. Mereka memilih saya kerana saya sedang memulakan inisiatif ‘Malaysian Youth On Gaza Mission’. Satu program kolaborasi 22 orang YDP MPP IPT di Malaysia. Di tangan saya sekarang terdapat 22 helai surat sokongan dan harapan para YDP/Presiden Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA dan 2 IPTS untuk diberikan kepada mahasiswa di Semenanjung Gaza ini. Program ini adalah inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (MPP UNIMAS),Jemaah YDP MPP IPT Malaysia dan Aqsa Syarif Berhad. Saya mesti sampaikan surat ini kerana saya mewakili mereka semua. Terdetik dalam hati saya. Bukankah jika saya mewakili mereka semua, saya juga mewakili seluruh mahasiswa di university-universiti yang ditadbir oleh mereka.? Sungguh besar amanah yang saya galas ini. Semoga Allah member saya kekuatan.

Kami tiba dihadapan pagar sempadan Mesir-Rafah. Saya melihat suasana yang sangat menyayat hati. Kelihatan ramai rakyat Palestin memegang pagar yang tertutup rapat. Mereka merayu untuk keluar bagi mencari bahan asasi bagi meneruskan kehidupan. Tidak kurang juga yang merayu untuk masuk ke dalam palestin bagi berjumpa sanak saudara yang berada di Palestin. Tiba-tiba Muhammad berbisik kepada saya “Sampai di sini sahaja saya boleh teman kamu. Saya dah tak boleh melangkah masuk. Saya tidak ada passport dan saya tidak pernah masuk ke Palestin !” Kata-kata Muhammad ini hampir membuatkan jantung saya berhenti berdegup. Saya merenung dua anak mata nya. Saya tidak mampu berkata apa-apa kerana saya beranggapan bahawa beliau yang akan membawa saya masuk ke palestin dan menemukan saya dengan aktivis yang lain. Mimpi ngeri seolah-olah menjadi realiti. Saya bukan tidak biasa untuk berseorangan dalam mana-mana perjalanan sebelum ini. Tetapi berseorangan untuk memasuki palestin adalah diluar jangkaan dan tidak pernah terlintas dalam kamus hidup saya. Konvoi Viva palestina sebelum ini pun, memasuki Palestin dengan puluhan van, konvoi Flotilla LifeLine for Gaza memasuki Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan puluhan kapal, malah aktivis Aqsa Syarif pada hari sebelumnya memasuki Gaza dengan 2 van khas malah dengan iringan pegawai yang bersenjata khusus bagi menjaga keselamatan mereka !
Saya berpelukan dengan Muhammad sebagai tanda perpisahan kami. Muka Muhammad penuh dengan kedukaan mempamerkan kekecewaan dan kebimbangan beliau terhadap keselamatan saya. Dengan nama Allah, saya melangkah masuk melepasi sempadan Mesir-Rafah. Sebenarnya, masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Hal ini demikian kerana, sebelum ini, saya boleh berbalas mesej dengan ketua konvoi, Prof Madaya Dr Zin Kandar. Tetapi saat ini, tidak tahu dimanakah puncanya, sampai saat ini, saya tidak boleh berhubung dengan beliau menyebabkan saya tidak tahu kemana arah tuju saya selepas memasuki Semenanjung Gaza ini. Adakah saya akan ke Rafah? Adakah saya akan ke Khan Younis? Adakah saya akan ke Gaza city? Dimanakah 10 aktivis lain berada sekarang?

Saya tiba di imigresen Rafah-Mesir. Kelihatan barisan yang sangat panjang. Rakyat Palestin beratur dengan sabar bagi menunggu passport mereka diperiksa. Saya turut beratur. Hanya Allah yang tahu betapa berdebar nya hati ini kerana passport saya sekarang adalah passport yang baru setelah passport saya dicuri 5 jam sebelum berlepas dari Malaysia tempoh hari. Oleh hal yang demikian, no passport ini adalah berbeza dengan no passport yang telah dimaklumkan oleh Wisma Putra Malaysia kepada Kedutaan Malaysia di Mesir dan Kementerian Luar Mesir pada 1 bulan yang lepas. Saya bimbang, perubahan ini akan membuatkan saya tidak dibenarkan memasuki Palestin. Tiba-tiba air mata saya berlinang. Mengenang semua ujian yang Allah telah berikan kepada saya. Seolah-olah satu isyarat daripada illahi “Bukan mudah untuk memasuki palestin dan bukan semua orang layak memasukinya”. Sudah 1 jam saya menunggu dan berbaris. Tiba-tiba bahu saya disentuh. Saya didatangi seorang lelaki yang sasa badannya, bermisai kumis dan mancung hidungnya. Gayanya seperti pegawai di imigresen tersebut. Dia meminta passport saya. Saya teragak-agak untuk berikan memandangkan saya saya sudah merasai keperitan ‘hilang passport’ bebrapa hari yang lepas.  Katanya, dia diminta oleh Dr Kamal Hebawy untuk membantu meluluskan passport saya.  Mata saya bersinar ! Alhamdulillah..! saya terus memeluknya! Dan dengan lembut dia bisikkan di telinga saya “Welcome to the largest open prison on this earth. Allaahu yu ba rik fiih” Kata-kata tersebut membuatkan air mata mengalir dengan deras. Dengan izin Allah, bantuan tersebut telah memudahkan saya untuk terus melepasi barisan yang sangat panjang..

Walaubagaimanapun, sahabat baru saya ini turut tidak mengetahui dimana 10 aktivis yang lain berada. Jadi, beliau minta saya naik bas ke Gaza City. Menurut beliau, dalam masa 45 minit, saya akan sampai ke Gaza City. Saya berulang-ulang kali bertanya kepadanya “Adakah kawan saya akan menunggu saya setibanya saya di Gaza City?” dan jawapan beliau tidak pernah berubah. Dengan senyuman “Allah akan menolong anda.InsyaAllah” Hanya 1 bas disediakan untuk ke Gaza City. Sedangkan ratusan rakyat palestin menunggu untuk pulang ke rumah masing-masing. Dengan kudrat yang ada, saya Berjaya menempatkan diri dan duduk dalam bas tersebut. Di belakang bas ini, terdapat satu lori yang membawa beg semua penumpang bas ini. Beg-beg saya juga turut berada dalam lori tersebut.Dalam perjalanan, saya melihat signboard ‘Welcome to Palestine’. Hati ini cukup sayu dan bertuah dengan nikmat yang telah Allah berikan. Nikmat untuk menjejakkan kaki ke dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia ini. Baru 10 minit perjalanan, bas tiba-tiba berhenti. Saya terpinga-pinga. Rupa-rupanya, setiap penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan imigresen sekali lagi. Tetapi kali ini ialah imigresen palestin. Saya lihat, semua penumpang tidak mengambil beg-beg mereka menandakan selepas pemeriksaan, kami akan menaiki bas ini semula. 

Banyak perkara terlintas dalam benak fikiran saya. Dimanakah 10 orang aktivis lain berada sekarang? Bagaimana jika mereka bukan berada di Gaza City? Jika saya sampai di Gaza City, bagaimana saya mahu menghubungi mereka? Adakah mereka sedang tunggu saya di stesen bas Gaza City? Di imigresen tersebut, semua orang pelik melihat saya. Malah, pegawai yang bertugas di kaunter bertanya “kamu dari Malaysia? Apa yang kamu buat disini? Kamu tahu tempat ini sangat bahaya?” saya hanya tersenyum. Seterusnya, dia cop dengan perkataan “RAFAH” pada passport saya. Saya bangun dan terus menuju semula kearah bas.
Dalam perjalanan menuju kea arah bas, saya sempat berbual dengan seorang pemuda yang merupakan graduan daripada Universiti Islam Gaza. Dia ingin menemani saya untuk naik bas dan memastikan keselamatan saya. Tanpa membuang masa, saya terus bertanya kepada dia mengenai aktivis Aqsa Syarif. Saya mengharapkan agar dia mengetahui tempat mereka berada. Dalam masa yang sama, kaki saya dah melangkah masuk ke dalam bas. Dan bas sudah mahu bergerak. Tiba-tiba dia tarik tangan saya. Beliau bertanya semula kepada saya “Prof Dr Zin Kandar? U with Dr Zin Kandar? i know him ! I know where is he now ! But he is not in Gaza City! ” Saya sangat terkejut.Hal ini bermaksud saya tidak sepatutnya naik bas ini. Bas ini menuju ke Gaza City ! Saya terus meminta pemandu bas tunggu saya mengambil semula beg-beg dari lori belakang. Sahabat baru saya ini terus membawa saya naik keretanya dan menuju ke Khan Younis !
Saya beristighfar berkali-kali. Tiba di Khan Younis, saya bertembung dengan sebuah van. Kereta kami berhenti. Begitu juga dengan van tersebut. Pintu van tersebut dibuka. Kelihatan Prof Madya Dr Zin turun dari van tersebut. Begitu juga dengan aktivis yang lain. Mata saya tergamam. Saya terus meluru kearah mereka. Dan kami berpelukan !! Dr Zin peluk saya dan bisikkan di telinga saya “Allah uji enta untuk mantapkan enta.Enta dah masuk Gaza berseorangan, selepas ini mudah untuk enta bimbing rakan-rakan mahasiswa yang lain” Puan Azian, salah seorang aktivis Aqsa Syarif berkata “Ya Allah, sampai jugak kamu kat bumi suci ini,doa ibu kamu dimakbulkan oleh Allah,menangis-nangis ibu kamu tau masa passport kamu hilang dan kamu tak de kat airport semasa kami berlepas tempoh hari!” Saya sujud syukur. Kita merancang, tetapi Allah jua yang Maha Merancang !

Bersambung...






Friday, August 19, 2011

Perutusan YDP MPP UNIMAS, Saudara Muhammad Mus'ab Muzahar Sebelum Berangkat ke Palestin.


Assalamualaikum dan Salam Kesarjanaan Mahasiswa.

    InsyaAllah,pada hari ini 20 Ogos 2011 saya akan berangkat ke bumi Gaza,Palestin untuk menyertai 11 aktivis yang lain bagi menyempurnakan misi 'Aqsa2Gaza2 Ramadhan di palestin bersama Aqsa Syarif'.Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UNIMAS kerana memberi keizinan kepada MPP UNIMAS memulakan inisiatif untuk menjalankan misi kemanusiaan paling kritikal pada dua abad terakhir ini melalui gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission'. Saya juga mengucapkan rasa bersyukur dan terharu kepada Pertubuhan Aqsa Syarif Berhad kerana sanggup 'mendengar' dan 'memberi muka' kepada kami yang setahun jagung ini untuk bersama-sama kalian dalam memberi impak paling maksimum bagi perjuangan pembebasan bumi Palestin.Menjadi aktivis termuda dan satu-satunya mahasiswa dalam kalangan kalian merupakan satu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dan saya sangat-sangat menghargainya.Misi ini sangat bermakna kerana saya turut membawa surat sokongan daripada 22 orang YDP MPP IPT di Malaysia yang bernaung di bawah gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission'.Surat ini akan diberikan kepada mahasiswa di Gaza sebagai tanda permulaan hubungan kasih sayang yang erat dari mahasiswa dua buah negara.

Masyarakat UNIMAS yang dikasihi,
Perjuangan membela dan membebaskan rakyat Palestin semakin signifikan dalam jiwa rakyat Malaysia.Palestin sudah 64 tahun dijajah dan dizalimi secara terang-terangan.Sebuah negara yang secara tiba-tiba hilang dalam peta dunia dan digantikan dengan nama Israel yang durjana.Masyarakat Malaysia makin bijak menilai isu ini.Begitu juga dengan mahasiswa dengan penilaian intelektualnya.Lebih-lebih lagi dengan tragedi serangan besar-besaran keatas Gaza pada Disember 2008 sehingga suku pertama tahun 2009 yang telah mengakibatkan hampir 1300 orang rakyat Gaza terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita.

Dalam keadaan luka yang masih berdarah, dunia terus dikejutkan dengan tragedi ‘Mavi Marmara’ dalam misi ‘Freedom Flotilla’ pada pertengahan tahun 2010 yang lepas yang menyaksikan kekejaman komando Israel membunuh 9 orang aktivis kemanusiaan misi ini di perairan antarabangsa.Aqsa Syarif turut menghantar wakil dalam misi ini. Peristiwa ini sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia kerana ianya turut melibatkan 12 aktivis kemanusiaan dari Malaysia. Jika sebelum ini rakyat Malaysia kurang merasai perasaan kekitaan dalam perjuangan membela rakyat palestin, kali ini persepsi tersebut telah berubah dek kerana komando Israel tersebut turut menyerang aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi tersebut. Rakyat Malaysia secara langsung dapat merasai perasaan cemas, geram dan benci akibat daripada serangan Komando Israel tersebut turut melibatkan rakyat Malaysia! MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada 12 aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi ini kerana anda telah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada kami untuk merasai betapa kami perlu bangkit untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin. 

Di peringkat mahasiswa, MPP UNIMAS melihat perkara ini sebagai satu inspirasi untuk kami terus menggiatkan usaha dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang telah berlaku kepada rakyat Palestin.Oleh hal yang demikian,saya bersedia untuk menyertai misi kritikal ini walaupun baru sebentar tadi saya menerima khabar tentera Israel telah melancarkan serangan terbaru terhadap rakyat Palestin di Gaza.Isu ini telah menyatukan semua manusia tanpa mengira agama,bangsa dan negara semata-mata bagi mempertahankan hak-hak kemanusiaan yang sepatutnya diterima oleh rakyat Palestin.Saya juga melihat misi ini mampu menyatupadukan masyarakat UNIMAS yang mempunyai pelbagai agama dan kaum seterusnya bersatu hati dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.Inilah yang saya maksudkan sebagai 'Perpaduan Sejagat'!

Masyarakat UNIMAS yang sentiasa di hati,
Dalam konteks agama,Palestin mempunyai tempat yang sangat istimewa.Bukan sahaja Islam,bahkan agama Kristian dan Yahudi turut menganggap bumi Palestin adalah bumi yang sangat suci.Izinkan saya untuk memberi penerangan kesucian Palestin menurut kacamata Islam. Sebagaimana Ramadhan menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis di Palestin adalah simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia. Meskipun umat Islam berkumpul di Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal sebagai mereka boleh sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.

Begitulah umat Islam di seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekasih yang hanya boleh digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah dan solatlah di sana”.  Halangan untuk berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk lampu-lampunya”.

Misi yang dinamakan misi Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga orang anggota misi wanita dan seorang mahasiswa. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa wanita Palestin. Saya sebagai wakil mahasiswa akan memulakan gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission' yang juga adalah harapan bersama 22 YDP MPP IPT Malaysia. Misi kali ini juga akan menziarahi Keluarga miskin yang ditaja oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin,projek kilang roti,ladang ternakan lembu tenusu,tajaan mikro kredit,tajaan anak yatim,tajaan keluarga miskin,bantuan hospital kanser Rantissi,berbuka puasa di kem pelarian dan banyak lagi.

Saya ingin memohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki jika saya telah banyak melukakan hati kalian.Sepanjang peninggalan saya ini,saya serahkan urusan MPP UNIMAS kepada Naib Yang Di Pertua MPP,Saudara Hwong Yie Hahn.Dalam kesempatan ini juga,saya merayu kepada masyarakat UNIMAS sekalian agar tidak memberi tekanan yang melampau kepada Saudari Jasmine Mazelan dalam isu Pengangkutan,Penempatan dan Keselamatan.Hal ini demikian kerana,beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh bersungguh-sungguh dan amanah.Saya juga menyeru agar kalian memberi sokongan sepenuhnya kpd Saudara Muhamad Ikram Jalil yang merupakan Pengarah MAP sesi ini dalam menjayakan MAP yang mempunyai LO Luar Biasa kali ini.Kalian perlu ingat,bahawa Saudara Muhamad Ikram Jalil menjalankan tugasnya dengan hanya menggunakan kudrat sebelah tangan kerana kemalangan yang ditimpanya sebelum cuti semester yang lepas belum lagi sembuh dan proses pemulihannya sangat panjang! Doakan agar saya sempat bersama kalian dalam meraikan kemeriahan Minggu Aluan Pelajar nanti.Jika Allah takdirkan saya tidak sempat bersama kalian,sampaikan salam saya kepada adik-adik baru kita dan ucapakan tahniah kepada mereka kerana telah terpilih menjejakkan kaki di 200 universiti terbaik Asia ini!

Saya sangat-sangat memerlukan doa dari kalian semua.Doakan misi ini berkat.

Saya akan berlepas pada jam 1045 am nanti dari KLIA-DOHA-EGYPT-LAND CONVOY-SEMPADAN RAFAH-GAZA, PALESTINE.

'Membudayakan Kesarjanaan Mahasiswa dan Perpaduan Sejagat'

Muhammad Mus'ab Muzahar
YDP MPP UNIMAS 2010/2011

Pengarah,
Malaysian Youth On Gaza Mission (MY Gaza Mission)

Thursday, June 9, 2011

Mission In The Making 'Malaysian Youth On Gaza Mission' (MY Gaza Mission)


Isu kemanusiaan dan hak asasi manusia yg paling kritikal dibentangkan

"Palestin ialah 'penjara terbesar' dalam dunia" 

"Rumah ibadat Muslim dan Christian dimusnahkan tanpa alasan yg kukuh  ! "

Apakah mahasiswa hanya ingin berdiam diri??


Kami akan lancarkan misi ni. Kami jemput semua mahasiswa bersama-sama kami.

Jamaah YDP IPT , 20 IPTA dan 2 IPTS telah bersetuju untuk berkolaborasi dgn kami. 
3 Jun 2011 Kami dah sampaikan hasrat kami kepada Tan Sri Muhyidin Yasin - TPM  Malaysia.

Pemimpin mahasiswa yg hadir pada Mesyuarat ini menjadi saksi !

Artikel saya telah disiarkan dalam Berita Harian sisipan VARSITI Bil 71, 19 – 25 Mei 2011

MPP UNIMAS Mengajak Rakyat Malaysia Memperingati Ulang Tahun Persitiwa Penjajahan Israel ke atas Rakyat Palestin



Artikel ini telah disiarkan dalam sisipan Berita Harian VARSITI Bil 71, 19 – 25 Mei 2011

MPP UNIMAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama golongan mahasiswa untuk memperingati peristiwa yang sangat menyayat hati yang berlaku pada bulan Mei 1948. Untuk pengetahuan, bulan Mei 2011 ini genap 63 tahun Negara Palestin hilang dalam peta dunia akibat daripada pengisytiharan Negara Israel ataupun lebih jijik dikenali sebagai ‘Hari Kemerdekaan Israel’. Hari yang dikenali sebagai Nakbah ini terjadi apabila Rejim Zionis Israel telah mengubah paradigma dunia kononnya mereka memperjuangkan kemerdekaan sedangkan secara hakikatnya mereka telah menodai tanah dan jiwa rakyat Palestin dengan mengusir penduduknya dari tanah tumpah darah mereka. Peta Negara Palestin digantikan dengan Negara Israel dalam keadaan 800 000 rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
  
Perjuangan membela dan membebaskan rakyat Palestin semakin signifikan dalam jiwa rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi dengan tragedi serangan besar-besaran keatas Gaza pada Disember 2008 sehingga suku pertama tahun 2009.  Dalam keadaan luka yang masih berdarah, dunia terus dikejutkan dengan tragedi ‘Mavi Marmara’ dalam misi ‘Freedom Flotilla’ pada pertengahan tahun 2010 yang lepas yang menyaksikan kekejaman komando Israel membunuh 9 orang aktivis kemanusiaan misi ini di perairan antarabangsa. Peristiwa ini sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia kerana ianya turut melibatkan 12 aktivis kemanusiaan Palestin dari Malaysia. Jika sebelum ini rakyat Malaysia kurang merasai perasaan kekitaan dalam perjuangan membela rakyat palestin, kali ini persepsi tersebut 360 darjah telah berubah dek kerana komando Israel tersebut turut menyerang aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi tersebut. Rakyat Malaysia telah merasai perasaan cemas, geram dan benci akibat daripada serangan Komando Israel !  MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada 12 aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi ini kerana anda telah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada kami untuk merasai betapa kami perlu bangkit untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin. 

MPP UNIMAS juga percaya bahawa rakyat Malaysia turut merasai gelombang perubahan yang berlaku di dunia Arab pasca 2011 ini. Teori ‘bakar diri’ yang bermula di Tunisia yang akhirnya menumbangkan diktator Ben Ali di Tunisia terus merebak ke Mesir. Siapa sangka Rejim Hosni Mobarak akan runtuh dalam keadaan yang sangat hina setelah lebih 30 tahun menzalimi masyarakat dunia.  Kebangkitan rakyat Negara-negara Arab ini sebenarnya telah memerdekakan mereka daripada kutukan dan tohmahan masyarakat dunia yang ditimpa kepada mereka kerana dinaungi oleh rejim-rejim Arab yang melindungi Israel. Kini, mereka mula lantang menebus maruah yang tercalar di tanah air mereka dan juga di bumi kesayangan mereka, Palestin. Dunia pula semakin lantang menyuarakan pandangan dan memberikan ruang yang semakin luas kepada rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka. Hal ini dapat dilihat apabila persepsi masyarakat dunia terhadap Israel sudah berubah. Masyarakat semakin cerdik menilai. Israel ataupun dikenali sebagai ‘Rogue State’ ini berhadapan dengan cemuhan dan bantahan pemimpin dunia. Sehinggakan senario pasca Israel mula dibahas oleh penganalisis konflik Palestin-Israel atas unjuran entiti Israel bakal lenyap dari lanskap politik timur tengah.

Dalam hanya beberapa bulan sahaja, satu berita gembira telah diumumkan apabila Menteri Luar Mesir telah memberi jaminan untuk membuka sempadan Rafah ke Gaza dalam masa yang terdekat. Sempadan tersebut adalah merupakan pintu penting kepada pembebasan kepungan Israel ke atas Gaza yang sudah melewati lima tahun. Kepungan yang juga dikenali sebagai ‘penjara terbesar dunia’ ini telah menyebabkan bantuan makanan, perubatan dan infrastruktur tidak boleh memasuki Gaza sedangkan dalam masa yang sama, rakyat Gaza diserang bertubi-tubi dari luar kepungan. Berita yang lebih menggembirakan ialah persetujuan HAMAS dan FATAH dalam membentuk kerajaan perpaduan. MPP UNIMAS sangat teruja dengan berita ini memandangkan pada awalnya kedua-dua parti ini kelihatan mustahil untuk bekerjasama akibat daripada perjanjian-perjanjian damai yang seringkali gagal. MPP UNIMAS melihat peristiwa bersejarah ini adalah indikator yang jelas menunjukkan bahawa  pengaruh Israel semakin lemah dan rakyat Palestin terus mendapat sokongan masyarakat dunia. 

MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Mesir atas keputusan untuk membuka sempadan Rafah. MPP UNIMAS juga mengalu-alukan kerajaan perpaduan HAMAS-FATAH seperti yang disebutkan oleh Khaled Meshaal dalam pengesahan perjanjian damai antara Hamas dan Fatah
 “Matlamat kita ialah untuk menubuhkan sebuah Negara Palestin yang benar-benar berdaulat lagi bebas di bumi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang ibu negaranya di Jerusalem, tiada langsung penempatan haram yahudi dan tidak langsung menyerahkan walau seinci pun bumi Palestin dan tanpa mengalah dalam mempertahankan hak pelarian Palestin dalam kembali ke tanah airnya”. 

Gagasan baru ini dilihat dapat menjadi medium penting kepada penyatuan rakyat Palestin dalam membebaskan diri dari cengkaman rejim Zionis. Di peringkat mahasiswa, MPP UNIMAS melihat perkara ini sebagai satu inspirasi untuk kami terus menggiatkan usaha dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang telah berlaku kepada rakyat Palestin. MPP UNIMAS juga bersedia untuk berkolaborasi dengan IPT serta agensi kerajaan mahupun swasta bagi memastikan agenda pembebasan dan pembelaan rakyat Palestin menjadi agenda utama dalam diri golongan belia negara Malaysia.


Muhammad Mus'ab bin  Muzahar
Yang Di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
   

Tuesday, May 10, 2011

Aqsa Syarif Memperingati Ulangtahun Nakbah ke 63.



Bulan Mei 2011 ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 63. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) sedangkan hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari  aksi-aksi terror oleh gerombolan bersenjata Yahudi zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampong halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini setelah enam puluh tiga tahun penderitaan itu kini diwarisi oleh tidak kurang dari 5 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. Ini bererti mereka telah menunggu selama enam puluh tiga tahun untuk pulang ke Palestin. Jika Nelson Mandela diraikan sebagai pahlawan kemanusiaan terulung kerana sanggup dipenjarakan selama 30 tahun demi membebaskan bangsa kulit hitam Afrika Selatan dari sistem Apatheid, maka rakyat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian sejak enam puluh tiga tahun lalu lebih wajar dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa.
Walaubagaimanapun ulang tahun Nakbah pada tahun ini memberikan harapan baru kepada rakyat Palestin. Ini adalah kerana pandangan umum masyarakat antarabangsa terhadap Israel sudah berubah. Jika sebelum ini rata-rata masyarakat antarabangsa mempertahankan apa juga tindakan biadap Israel termasuk melakukan serangan dan membunuh rakyat Palestin, kini Israel berhadapan dengan cemuhan dan bantahan rakyat awam dan pemimpin dunia. Bahkan senario pasca Israel mula dibahas oleh penganalisis konflik Palestin-Israel atas unjuran entiti Israel bakal lenyap dari lanskap politik timur tengah. Jika dahulu rakyat Palestin dilihat sebagai pengganas dan musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah, kini Israel yang digelar sebagai rogue stateatau negara penyangak. Situasi yang digambarkan oleh guru Sejarah Barat terunggul Arnold Toynbee mungkin tidak lagi benar.

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Dunia kini mula memberi ruang kepada rakyat Palestin untuk menyuarakan hak mereka. Perkembangan terkini yang melanda dunia Arab memberi ruang yang amat luas untuk rakyat Arab yang selama ini dipenjara oleh rejim-rejim kukubesi di negara masing-masing untuk menyatakan sokongan terbuka mereka ke atas perjuangan rakyat Palestin. Mereka bukan sahaja bebas menyatakan sokongan bahkan mereka bebas bertindak membantu rakyat Palestin dan mengeluarkan mereka dari penghinaan yang ditimpakan selama ini oleh rejim Zionis yang dilindungi oleh pemimpin-pemimpin Arab. Senario ini amat berbeza apabila Israel melancarkan serangan biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009. Gaza yang dikepung dan dikenakan sekatan ekonomi komprehensif bertukar menjadi  lapangan sasar untuk membunuh rakyat awam yang tidak bersenjata. seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan.

Protes besar-besaran yang dianjurkan di seluruh dunia terutama di kotaraya Eropah dan Amerika Syarikat telah mencetuskan usaha tersusun untuk membantu rakyat Palestin. Seruan untuk memulau dan memboikot Israel diterajui di peringkat global. NGO yang memperjuangkan hak rakyat Palestin mula membentuk jalinan dan mengkoordinasi bantuan di peringkat antarabangsa. Kerjasama ini akhirnya membuahkan tekad untuk memecahkan tembok kepungan Gaza melalui melalui misi-misi kemanusiaan. Kemuncak kepada inisiatif misi kemanusiaan ini ialah Freedom Flotilla yang berakhir dengan tragedi Mavi Marmaradi perairan antarabangsa. Sekali lagi Israel bertindak biadap dengan membelakangkan undang-undang antarabangsa dengan menyerang kapal Mavi Marmarayang tidak bersenjata dan mengakibatkan 9 orang sukarelawan Turki terbunuh. Rakyat Malaysia turut terkesan dengan tragedi ini kerana Freedom Flotilla turut disertai oleh 12 warga Malaysia termasuk dua dari Aqsa Syarif. Serangan biadap yang jelas merupakan satu pelanggaran undang-undang maritim antarabangsa telah mendapat bantahan dan kutukan dari masyarakat sivil terutama dari negara-negara Barat. Komuniti antarabangsa yang semakin simpati dengan nasib rakyat Palestin terus menyusun inisiatif bantuan kemanusiaan sehingga dilancarkan pula misi Konvoi Darat (Viva Palestina 5) yang melibatkan lebih dari 200 ambulan dan kenderaan pelbagai guna yang memulakan perjalanan dari London menuju Gaza. Konvoi darat ini juga turut disertai oleh 12 orang sukarelawan Malaysia, di mana 7 mewakili Aqsa Syarif dan 5 dari Viva Palestina Malaysia.

Berbanding siri bantahan yang dianjurkan di negara-negara barat menyokong rakyat palestin dari tahun 2009 hingga 2011, negara-negara Arab terus membisu dan menunjukkan sikap dingin terhadap perjuangan rakyat Palestin. Apabila bantuan datang dari segenap pelosok dunia untuk membantu rakyat Gaza, Mesir terus menutup  sempadan masuk ke Gaza dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza. Rejim Hosni Mubarak tidak mempedulikan rayuan masyarakat antarabangsa supaya sempadan dibuka dan bantuan segera diberikan kepada penduduk Gaza.  Sebenarnya Hosni Mubarak bersekongkol dengan rejim Zionis Israel dan mengikut sahaja telunjuk Amerika Syarikat dan Eropah yang ingin memastikan Gaza terus dijkepung. Bagi Hosni Mubarak, keselamatan Israel paling utama dan pengaruh HAMAS perlu dibanteras. Jika sekatan dilonggarkan kedudukan Israel akan tergugat. Senario ini pastinya akan menggoyahkan kedudukan rejim Mubarak. Lantaran itu Hosni Mubarak terus mengambil sikap tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin dan membiarkan mereka berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang terburuk di abad ini. Bukan sahaja Mesir, bahkan seluruh Negara-negara Arab termasuk Jordan, Arab Saudi, dan Negara-negara Teluk terus berdiam diri meskipun mereka boleh menggerakkan pelbagai inisiatif dan sumber untuk membebaskan rakyat Palestin dari kepungan dan kezaliman rejim Zionis. Hakikatnya mereka adalah khadam yang berkhidmat kepada Israel. Mereka diupah oleh Amerika untuk memastikan keselamatan Israel terus terpelihara dari ancaman rakyat Arab.  .

Angin perubahan mula bertiup pada awal tahun 2011. Satu demi satu rejim Arab bermula dengan Tunisia ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri. Revolusi ‘Jasmine’  telah menumbangkan rejim kuku besi Ben Ali di Tunisia. Rakyat Mesir yang mendapat inspirasi dari kebangkitan di Tunisia kemudiannya menumbangkan pula rejim Hosni Mubarak. Kini Libya pula dicengkam oleh pergelutan di antara rakyat dan rejim Muamar Gadafi dan bakal menyaksikan satu lagi negara despot Arab ditumbangkan. Beberapa riak kebangkitan rakyat juga sedang berlaku di Syria, Jordan dan Bahrain. Kebangkitan rakyat Negara-negara Arab ini telah membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan kuku besi diktator Arab dan yang lebih penting lagi memerdekakan mereka dari penghinaan yang ditimpakan oleh rejim-rejim Arab yang melindungi Israel. Selama berpuluh tahun rakyat Arab dan umat Islam dihina oleh pemimpin mereka. Kini mereka mula menghirup udara kebebasan untuk menebus maruah yang tercalar di tanah air mereka dan juga di bumi Palestin.

Sesungguhnya angin perubahan yang berlaku di timur tengah adalah berita paling baik bagi rakyat Palestin sejak 63 tahun tragedi Nakbah. Bahkan ia adalah berita terbaik sejak hampir seratus tahun yang lalu apabila Palestin digadai oleh perutusan rahsia yang terkandung dalam Hussein McMahon Correspondents (1915), konspirasi jahat British dan Peranchis dalam perjanjian rahsia Sykes-Picot (1916) dan di Parlimen British dengan sehelai dokumen keparat bernama Deklarasi Balfour (1917). Siri-siri pengkhianatan dan siasat keji di antara pemimpin Arab yang berkepentingan dan kuasa barat seperti yang diputuskan oleh PBB lewat UNSCOP dan Partition Plan dan resolusi 181 telah memberi lesen kepada  zionis untuk merancang siri-siri keganasan ke atas rakyat Palestin yang mencetuskan tragedi Nakbah.

Ketika rencana ini ditulis, Menteri Luar Mesir mengumumkan sempadan Rafah ke Gaza akan dibuka dalam masa yang terdekat dan ia akan terus dibuka bagi menamatkan kepungan israel ke atas Gaza yang sudah melewati lima tahun sejak 2006. Ini disusuli pula dengan persetujuan HAMAS dan FATAH untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai landasan penyatuan rakyat Palestin di dalam membebaskan Palestin dari pendudukan Zionis.

Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada kerajaan Mesir atas pendirian yang ditunggu sejak sekian lama. Aqsa Syarif juga mengalu-alukan penyatuan HAMAS dan FATAH, satu perkembangan yang mendapat dokongan masyarakat antarabangsa yang mahu melihat wujudnya satu front rakyat Palestin di dalam menghadapi Zionis Israel. Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Arab yang telah berjuang bersama rakyat Palestin untuk menumbangkan sekatan-sekatan yang menghalang pembebasan bumi Palestin di negara mereka sendiri. Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada semua pejuang hak asasi dan sukarelawan yang tidak pernah gentar berhadapan dengan ancaman Israel untuk membantu membebaskan rakyat Palestin.

Sempena ulangtahun Nakbah yang ke 63 Aqsa Syarif akan memperkuat azam untuk ’MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN AL-AQSA”

Pengerusi



Aqsa Syarif Bhd
15 Mei 2011

Wednesday, March 2, 2011

Perutusan YDP MPP UNIMAS sesi 2010/2011

Assalamualaikum,
Salam sejahtera kepada semua.


    Saya mengungkapkan penghormatan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penubuhan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010/2011 ini .Saya ingin mengungkapkan kebahagiaan dan perasaan rendah diri yang menyelimuti diri ini saat berada di tengah-tengah kalian.Saya mengharapkan bimbingan daripada pihak pentadbiran dan kerjasama daripada sahabat MPP dan seluruh mahasiswa/i UNIMAS sekalian untuk bersama-sama mengorak langkah dan melakar sejarah.Sama-sama kita mencipta cerita yang baru ataupun kita akan terus mengulangi sejarah yang lama.Sungguh,saya tidak mampu mengungkapkan segalanya kerana jauh di sanubari ini sedang merasai kecintaan,kerjasama yang erat,persaudaraan yang tulus dan semangat berpasukan yang kukuh sesama kita.Semoga Allah memberikan taufiq kepada kita semua untuk melakukan kebajikan di bumi UNIMAS yang tercinta ini.

     Kita sebenarnya mungkin sudah bekerja untuk membawa para mahasiswa kita kepada satu kesatuan terutama dalam arus dunia dan segala tipudayanya yang sentiasa mengelirukan para mahasiswa kita.Namun,bekerja tanpa penyusunan dan perancangan serta tanpa mengambil pengalaman daripada mereka yang terdahulu tentunya sukar untuk meraih kemenangan dalam memenangi hati-hati para mahasiswa yang semakin kompleks dan dinamik.Lebih-lebih lagi suasana di UNIMAS ini yang mempunyai mahasiswa dan mahasiswi yang berbilang kaum,agama dan adat resam.Segala pertelingkahan boleh menjadi isu sensitive dan jika kita tidak bijak dalam menanganinya,kita mungkin berhadapan dengan masalah yang besar.Jadilah seperti pokok,tidak hanya mengambil air sebagai sumber tumbesarannya,Tetapi juga memerlukan cahaya matahari dan mineral galian untuk memastikan kelangsungan hidupnya.Oleh hal yang demikian,kita perlukan kepakaran dan usaha yang luar biasa bagi mencapai tujuan murni membawa anak bangsa dan agama kita kelandasan sebenar agar kita menjadi asset berharga dan bukannya masalah kepada agama,bangsa dan Negara.

    Sebagai langkah permulaan yang baik daripada kami untuk meningkatkan kebajikan terhadap teman-teman mahasiswa,barisan MPP UNIMAS sesi 2010/2011 telah menstruktur semula portfolio-portfolio exco MPP kepada portfolio-portfolio yang lebih mesra pelajar,jelas kerjanya dan seimbang tugasnya.Exco-exco tersebut ialah:

1)Exco Pembangunan Sahsiah dan Modal Insan
2)Exco Akademik dan Kaunseling
3)Exco Kerjaya,keusahawanan dan Inovasi
4)Exco Pengangkutan,Penempatan dan Keselamatan
5)Exco Protokol,Perhubungan Awam dan Antarabangsa
6)Exco Kesenian,Kebudayaan dan Perpaduan
7)Exco Kesihatan,Sukan dan Rekreasi
8)Exco Publisiti dan Media

    4 orang Majlis Tertinggi yang terdiri daripada YDP,NYDP,SU Agong dan Bendahari akan mengambil alih tugas ‘exco aduan dan kebajikan’ yang lepas  dimana para mahasiswa boleh berhubung terus dengan Majlis Tertinggi ini,jika ingin membuat aduan mengenai kecemasan,kemalangan dan kehilangan nyawa.Kami sependapat bahawa pembentukan exco-exco ini lebih mesra pelajar dan gerak kerja kami akan lebih berfokus.

Teman-teman yang saya kasihi sekalian,

UNIMAS ini tidak sesak dengan mahasiswanya
Tetapi UNIMAS ini sesak dengan kepelbagaian akhlak mahasiswanya.

      Sesungguhnya,masyarakat Malaysia ini terbentuk daripada peribadi manusia dan lingkungan yang melingkupinya serta nilai-nilai yang tulus di dalamnya.Jika unsur-unsur ini terjalin dengan seimbang bererti masyarakat itu akan kukuh dan matang.Golongan mahasiswa adalah unsur pilihan terpenting yang paling banyak peranannya dalam pembentukan masyarakat dinamis dan berpengetahuan.Masyarakat ini mampu bangkit bersama aktivisme mahasiswa yang berintelektual dan saling bertukar idea.

Warga UNIMAS yang dikasihi,

      Jarak antara kekalahan dan kemenangan itu dekat,perlu ada satu kelompok peneraju yang jujur,berilmu dan peka yang memahami keutamaan kerja,bekerja untuk merealisasikannya dengan penuh kesabaran,berakhlak mulia berlandaskan prinsip moral yang sangat tinggi.Juga perlu ada pemimpin yang peka dan matang,mempunyai matlamat yang jelas dan metod bergerak yang baik.Dengan bekalan ini,kejayaan organisasi kita semakin hampir.Golongan mahasiswa adalah generasi harapan bangsa Malaysia.

            Semoga warkah kali ini mengundang berkat.Ingatlah rakan seperjuangan MPP sekalian,bermula hari ini,tanggungjawab kita melebihi masa yang kita ada.

Salam Kasih Sayang,
Muhammad Mus'ab Muzahar,
YDP MPP UNIMAS sesi 2010/2011


Monday, February 14, 2011

Muslimeen Idol

Assalamualaikum
Salam sejahtera kepada semua.



     Kami mengucapkan selamat menghayati Maulidur Rasul kepada seluruh mahasiswa UNIMAS.Dewan Amal Islami (DAMAI) UNIMAS sedang merasai bahang kehangatan dan kerinduan seluruh mahasiswa UNIMAS terhadap Rasul junjungan kita,Muhammad bin Abdullah SAW.Sempena sambutan memperingati Maulid (kelahiran) Muhammad bin Abdullah SAW ini,DAMAI UNIMAS ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa yang telah menyertai ceramah Maulidur Rasul peringkat Sarawak di Masjid Al Muttaqin semalam.Kami juga ingin menzahirkan kekaguman kami kepada wakil setiap kolej kediaman yang sanggup menadah hujan,berbasah kuyup selama empat jam dalam perarakan Maulidur Rasul peringkat Sarawak di hadapan Dewan Suarah,Samarahan yang baru sahaja berakhir sebentar tadi.DAMAI UNIMAS juga ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada kontijen Kolej Bunga Raya diatas kejayaan meraih anugerah Perarakan Terbaik bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam.Tahniah kami ucapkan.Kami juga menyeru kepada seluruh mahasiswa UNIMAS agar bersama-sama kami dalam menjayakan Dialog Cendekiawan yang akan bermula pada malam ini, 15Feb 2011 jam 7.30 malam di CTF1 DK1.Penceramah jemputan kita ialah Dr Hj Aswin Rose bin Yusuf.Kami menggalakkan agar kita bersama-sama sembahyang maghrib berjemaah di Surau HEP.

    Kami meyakini dan mengimani bahawa Muhammad bin Abdullah SAW adalah manusia yang paling sempurna.Baginda mempunyai budi pekerti yang sangat luhur.Ketokohannya bukan sahaja dikagumi oleh umat Islam.Bahkan,baginda juga menjadi inspirasi,contoh dan kajian tokoh-tokoh Cendekiawan Barat dan juga tokoh agama yang lain.Berikut,kami senaraikan pandangan tokoh-tokoh bukan Islam terhadap Nabi Muhammad bin Abdullah SAW.

1) Mahatma Gandhi (Komen mengenai karakter Nabi Muhammad SAW di YOUNG INDIA )

“Pernah saya tertanya-tanya siapakah tokoh yang paling mempengaruhi manusia.Saya lebih dari yakin bahawa bukan pedanglah yang memberikan kebesaran pada Islam pada masanya. Tapi ia datang dari kesederhanaan, kebersahajaan, keberhati-hatian Muhammad; serta pengabdian luar biasa kepada teman dan pengikutnya, tekadnya, keberaniannya, serta keyakinannya pada Tuhan dan tugasnya. Semua ini (dan bukan pedang ) menyingkirkan segala halangan. Ketika saya menutup halaman terakhir volume 2 (biografi Muhammad), saya sedih karena tiada lagi cerita yang tersisa dari hidupnya yang agung.”

2) Sir George Bernard Shaw (The Genuine Islam,’ Vol. 1, No. 8, 1936.)

“Jika ada agama yang berpeluang menguasai Inggeris bahkan Eropah – beberapa ratus tahun dari sekarang, Islamlah agama tersebut.” Saya sentiasa menghormati agama Muhammad karena potensi yang dimilikinya. Ini adalah satu-satunya agama yang bagi saya memiliki kemampuan menyatukan dan mengubah peradaban. Saya sudah mempelajari Muhammad sesosok peribadi agung yang jauh dari kesan seorang anti-kristian, dia harus dipanggil ’sang penyelamat kemanusiaan’ Saya yakin, apabila orang semacam Muhammad memegang kekuasaan tunggal di dunia moden ini, dia akan berhasil mengatasi segala permasalahan sedemikian hingga membawa kedamaian dan kebahagiaan yang diperlukan dunia: 

    Ramalanku, keyakinan yang dibawanya akan diterima Eropah di masa datang dan memang ia telah mulai diterima Eropah disaat ini. Dia adalah manusia teragung yang pernah memijakkan kakinya di bumi ini. Dia membawa sebuah agama, mendirikan sebuah bangsa, meletakkan dasar-dasar moral, memulai sekian banyak gerakan pembaruan sosial dan politik, mendirikan sebuah masyarakat yang kuat dan dinamik untuk melaksanakan dan mewakili seluruh ajarannya, dan ia juga telah merevolusi fikiran serta perilaku manusia untuk seluruh masa yang akan datang. 

     Dia adalah Muhammad (SAW). Dia lahir di Arab tahun 570 masihi, memulakan misi mengajarkan agama kebenaran, Islam (penyerahan diri pada Tuhan) pada usia 40 dan meninggalkan dunia ini pada usia 63. Sepanjang masa kenabiannya yang pendek (23 tahun) dia telah mengubah Jazirah Arab dari paganisme dan pemuja makhluk menjadi para pemuja Tuhan yang Esa, dari peperangan dan perpecahan antara suku menjadi bangsa yang bersatu, dari kaum pemabuk dan pengacau menjadi kaum pemikir dan penyabar, dari kaum tak berhukum dan anarki menjadi kaum yang teratur, dari keruntuhan moral. Sejarah manusia tidak pernah mengenal transformasi sebuah masyarakat atau tempat sedasyat ini dan  bayangkan ini terjadi dalam kurun waktu hanya sedikit di atas DUA DEKAD.”

3) Michael H. Hart  (THE 100: A RANKING OF THE MOST INFLUENTIAL PERSONS IN HISTORY, New York, 1978)

    “Pilihan saya untuk menempatkan Muhammad pada urutan teratas mungkin mengejutkan semua pihak, tapi dialah satu-satunya orang yang berjaya baik dalam pandangan sekular maupun agama. (hal. 33). Lamartine, seorang sejarawan terkemuka menyatakan bahawa: Jika keagungan sebuah tujuan, kecilnya fasiliti yang diberikan untuk mencapai tujuan tersebut, serta menakjubkannya hasil yang dicapai menjadi ukuran  kegeniusan seorang manusia; siapakah yang berani membandingkan tokoh hebat manapun dalam sejarah moden dengan Muhammad? 

     Tokoh-tokoh itu membangun pasukan, hukum dan kerajaan saja. Mereka hanyalah menciptakan kekuatan-kekuatan material yang hancur bahkan di depan mata mereka sendiri. Muhammad bergerak tidak hanya dengan tentara, hukum, kerajaan, rakyat dan dinasti, tapi jutaan manusia di dua per tiga wilayah dunia saat itu; lebih dari itu, ia telah merubah amalan-amalan pemujaan, sesembahan, agama, fikiran, kepercayaan serta jiwa. Kesabarannya dalam kemenangan dan tujuannya yang dipersembahkan untuk satu tujuan tanpa sama sekali berhasrat membangun kekuasaan, sembahyang-sembahyangnya, dialognya dengan Tuhan, kematiannya dan kemenangan-kemenangan (umatnya) setelah kematiannya; semuanya membawa keyakinan umatnya hingga ia memiliki kekuatan untuk mengembalikan sebuah kepercayaan. 

    Kepercayaan yang mengajarkan ketunggalan dan keghaiban (immateriality) Tuhan yang mengajarkan siapa sesungguhnya Tuhan. Dia singkirkan Tuhan palsu dengan kekuatan dan mengenalkan Tuhan yang sesungguhnya dengan kebijakan. Seorang ahli falsafah yang juga seorang pemidato, pendakwah, perajurit, ahli hukum, penakluk idea, pegembali kepercayaan-kepercayaan rasional dari sebuah ajaran tanpa pengidolaan, mendirikan 20 kerajaan di bumi dan satu kerajaan spiritual.Dialah Muhammad. Dari semua standard bagaimana kehebatan seorang manusia diukur, mungkin kita patut bertanya:adakah ada orang yang lebih agung dari dia?”

4) (Lamar tine, HISTOIRE DE LA TURQUIE, Paris, 1854, Vol. II, pp 276-277)

    “Dunia telah menyaksikan banyak peribadi-peribadi agung. Namun, dari orang orang tersebut adalah orang yang sukses pada satu atau dua bidang saja. Misalnya agama atau ketenteraan. Hidup dan ajaran orang-orang ini seringkali diselimuti kabut waktu dan zaman. Begitu banyak spekulasi tentang waktu dan tempat lahir mereka, cara dan gaya hidup mereka, sifat dan isi ajaran mereka, serta tingkat dan ukuran kejayaan  mereka sehingga sulit bagi manusia untuk mencontohi ajaran dan hidup tokoh-tokoh ini. 

     Tetapi tidak begitu bagi orang ini. Muhammad (SAW) telah begitu tinggi menggapai dalam berbagai bidang fikir dan perilaku manusia dalam sebuah episod cemerlang sejarah manusia. Setiap detik dari kehidupan peribadi dan ucapan-ucapannya telah secara tepat didokumentasikan dan dijaga dengan teliti sampai saat ini. Keaslian ajarannya begitu terjaga, tidak saja oleh kerana pembawaan yang dilakukan para pengikut setianya tapi juga oleh para penentangnya. Muhammad adalah seorang agamawan, reformis sosial, teladan moral, administrator massa, sahabat setia, teman yang menyenangkan, suami yang penuh kasih dan seorang ayah yang penyayang – semua menjadi satu. Tiada lagi manusia dalam sejarah melebihi atau bahkan menyamainya dalam setiap aspek kehidupan tersebut – hanya dengan keperibadian seperti dialah keagungan seperti ini dapat diraih.”

5) K. S. RAMAKRISHNA RAO, Professor Philosophy ‘Muhammad, The Prophet of Islam’

    “Keperibadian Muhammad,sangat sulit untuk menggambarkannya dengan tepat. Saya pun hanya boleh menangkap sekilas saja: betapa ia adalah lukisan yang indah. Anda boleh lihat Muhammad seorang Nabi, Muhammad seorang pejuang, Muhammad seorang peniaga, Muhammad seorang negarawan, Muhammad seorang pendakwah ulung, Muhammad seorang pembaharu, Muhammad seorang pelindung anak yatim piatu, Muhammad seorang pelindung hamba sahaya, Muhammad seorang pembela hak wanita, Muhammad seorang hakim, Muhamad seorang pemimpin agama. 

    Dalam setiap perananya tadi, dia adalah seorang pahlawan. Di saat ini, 14 abad kemudian, kehidupan dan ajaran Muhammad tetap selamat, tiada yang hilang atau berubah sedikit pun. Ajaran yang menawarkan harapan abadi tentang ubat atas segala penyakit kemanusiaan yang ada dan telah ada sejak masa hidupnya. Ini bukanlah setakat dakwaan seorang pengikutnya tapi juga sebuah simpulan yang tidak dapat dinafikan dari sebuah analisis sejarah yang kritis dan tidak berat sebelah.”

6) Prof. (Snouck) Hurgronje


    “Liga bangsa-bangsa yang didirikan Nabi umat Islam telah meletakkan dasar-dasar persatuan antarabangsa dan persaudaraan manusia di atas bersifat yang universal yang menerangi bangsa lain. Buktinya, sampai saat ini tiada satu bangsa pun di dunia yang mampu menyamai Islam dalam pencapaiannya mewujudkan idea persatuan bangsa-bangsa. Dunia telah banyak mengenal konsep ketuhanan, telah banyak individu yang hidup dan misinya lenyap menjadi legenda. Sejarah menunjukkan tiada satu pun legenda ini yang menyamai bahkan sebahagian dari apa yang Muhammad capai. 

    Seluruh jiwa raganya ia curahkan untuk satu tujuan: menyatukan manusia dalam pengabdian kapada Tuhan dalam aturan-aturan ketinggian moral. Muhammad atau pengikutnya tidak pernah dalam sejarah menyatakan bahawa ia adalah putera Tuhan atau kelahiran semula Tuhan atau seorang jelmaan Tuhan dia selalu sejak dahulu sampai saat ini menganggap dirinya dan dianggap oleh pengikutnya hanyalah sebagai seorang pesuruh yang dipilih Tuhan”.


7) Thomas Carlyle: ‘HEROES AND HEROWORSHIP’

 “(Betapa menakjubkan) seorang manusia sendirian dapat mengubah suku-suku yang saling berperang dan kaum nomad menjadi sebuah bangsa yang paling maju dan paling bertamadun hanya dalam waktu kurang dari dua dekad.Kebohongan yang dipropagandakan kaum Barat yang diselimutkan kepada orang ini (Muhammad) hanyalah memalukan diri kita sendiri. Sesosok jiwa besar yang tenang, seorang yang mahu tidak mahu harus dijunjung tinggi. Dia diciptakan untuk menerangi dunia, begitulah perintah Sang Pencipta Dunia”.

8) Edward Gibbon dan Simon Ockley ‘Speaking on the profession of ISLAM’

     “Saya percaya bahawa Tuhan adalah tunggal dan Muhammad adalah pesuruh-Nya adalah pengakuan kebenaran Islam yang simple dan seragam. Tuhan tidak pernah dihinakan dengan pujaan-pujaan kemakhlukan; penghormatan terhadap Nabi tidak pernah berubah menjadi pemujaan berlebihan; dan prinsip-prinsip hidupnya telah memberinya penghormatan dari pengikutnya dalam batas-batas akal dan agama” 

9) (HISTORY OF THE SARACEN EMPIRES, London, 1870, p. 54). 

    “Muhammad tidak lebih dari seorang manusia biasa. Tetapi ia adalah manusia dengan tugas mulia untuk menyatukan manusia dalam pengabdian terhadap satu dan hanya satu Tuhan serta untuk mengajarkan hidup yang jujur dan lurus sesuai perintah Tuhan. Dia selalu menggambarkan dirinya sebagai hamba dan pesuruh Tuhan dan demikianlah juga setiap tindakannya.”

10) SAROJINI NAIDU, penyair terkenal India (S. Naidu, IDEALS OF ISLAM, vide Speeches & Writings, Madras, 1918, p. 169):

    “Inilah agama pertama yang mengajarkan dan mempraktikkan demokrasi.Di setiap masjid, ketika azan berkumandang dan jemaah telah berkumpul, demokrasi dalam Islam terwujud lima kali sehari ketika seorang hamba dan seorang raja berlutut berdampingan dan mengakui: Allah Maha Besar.Saya terpukau lagi dan lagi oleh kebersamaan Islam yang secara naluri membuat manusia menjadi bersaudara.”

    Jika tokoh bukan Islam pun meletakkan kekaguman yang sangat tinggi kepada Penyampai Risalah Agung kita,Nabi Muhammad SAW,bagaimana mungkin mahasiswa Islam di UNIMAS ini langsung tidak mempunyai perasaan sayang apatah lagi rindu dan cinta kepada Baginda SAW ?Ayuh,kita mulakan azam baru,untuk terus berkenalan dan memahami perjuangan Baginda yang tercinta.Hal yang demikian akan membuatkan kita lebih bersemangat untuk mencontohi sunnah dan akhlak Baginda.

     Dalam kesempatan ini,DAMAI UNIMAS menyeru seluruh mahasiswa UNIMAS untuk menghayati khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.


Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 
,Tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

     “Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini. 

    Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

     Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

     Wahai Manusia,Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

     Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

    Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

    Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

    Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU”.

    DAMAI UNIMAS berharap agar kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan bersedia untuk menggalas amanah untuk memenuhi wasiat terakhir Nabi Muhammad SAW ini.

Salam Maulidur Rasul,
Muhammad Mus’ab Muzahar
Ketua Lujnah Kebajikan
Dewan Amal Islami UNIMAS
DAMAI UNIMAS



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...