Followers

Pages

Friday, August 19, 2011

Perutusan YDP MPP UNIMAS, Saudara Muhammad Mus'ab Muzahar Sebelum Berangkat ke Palestin.


Assalamualaikum dan Salam Kesarjanaan Mahasiswa.

    InsyaAllah,pada hari ini 20 Ogos 2011 saya akan berangkat ke bumi Gaza,Palestin untuk menyertai 11 aktivis yang lain bagi menyempurnakan misi 'Aqsa2Gaza2 Ramadhan di palestin bersama Aqsa Syarif'.Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UNIMAS kerana memberi keizinan kepada MPP UNIMAS memulakan inisiatif untuk menjalankan misi kemanusiaan paling kritikal pada dua abad terakhir ini melalui gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission'. Saya juga mengucapkan rasa bersyukur dan terharu kepada Pertubuhan Aqsa Syarif Berhad kerana sanggup 'mendengar' dan 'memberi muka' kepada kami yang setahun jagung ini untuk bersama-sama kalian dalam memberi impak paling maksimum bagi perjuangan pembebasan bumi Palestin.Menjadi aktivis termuda dan satu-satunya mahasiswa dalam kalangan kalian merupakan satu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dan saya sangat-sangat menghargainya.Misi ini sangat bermakna kerana saya turut membawa surat sokongan daripada 22 orang YDP MPP IPT di Malaysia yang bernaung di bawah gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission'.Surat ini akan diberikan kepada mahasiswa di Gaza sebagai tanda permulaan hubungan kasih sayang yang erat dari mahasiswa dua buah negara.

Masyarakat UNIMAS yang dikasihi,
Perjuangan membela dan membebaskan rakyat Palestin semakin signifikan dalam jiwa rakyat Malaysia.Palestin sudah 64 tahun dijajah dan dizalimi secara terang-terangan.Sebuah negara yang secara tiba-tiba hilang dalam peta dunia dan digantikan dengan nama Israel yang durjana.Masyarakat Malaysia makin bijak menilai isu ini.Begitu juga dengan mahasiswa dengan penilaian intelektualnya.Lebih-lebih lagi dengan tragedi serangan besar-besaran keatas Gaza pada Disember 2008 sehingga suku pertama tahun 2009 yang telah mengakibatkan hampir 1300 orang rakyat Gaza terkorban termasuk kanak-kanak dan wanita.

Dalam keadaan luka yang masih berdarah, dunia terus dikejutkan dengan tragedi ‘Mavi Marmara’ dalam misi ‘Freedom Flotilla’ pada pertengahan tahun 2010 yang lepas yang menyaksikan kekejaman komando Israel membunuh 9 orang aktivis kemanusiaan misi ini di perairan antarabangsa.Aqsa Syarif turut menghantar wakil dalam misi ini. Peristiwa ini sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia kerana ianya turut melibatkan 12 aktivis kemanusiaan dari Malaysia. Jika sebelum ini rakyat Malaysia kurang merasai perasaan kekitaan dalam perjuangan membela rakyat palestin, kali ini persepsi tersebut telah berubah dek kerana komando Israel tersebut turut menyerang aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi tersebut. Rakyat Malaysia secara langsung dapat merasai perasaan cemas, geram dan benci akibat daripada serangan Komando Israel tersebut turut melibatkan rakyat Malaysia! MPP UNIMAS mengucapkan tahniah kepada 12 aktivis dari Malaysia yang menyertai konvoi ini kerana anda telah memberi pengajaran yang sangat berguna kepada kami untuk merasai betapa kami perlu bangkit untuk membela dan membebaskan rakyat Palestin. 

Di peringkat mahasiswa, MPP UNIMAS melihat perkara ini sebagai satu inspirasi untuk kami terus menggiatkan usaha dalam memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang telah berlaku kepada rakyat Palestin.Oleh hal yang demikian,saya bersedia untuk menyertai misi kritikal ini walaupun baru sebentar tadi saya menerima khabar tentera Israel telah melancarkan serangan terbaru terhadap rakyat Palestin di Gaza.Isu ini telah menyatukan semua manusia tanpa mengira agama,bangsa dan negara semata-mata bagi mempertahankan hak-hak kemanusiaan yang sepatutnya diterima oleh rakyat Palestin.Saya juga melihat misi ini mampu menyatupadukan masyarakat UNIMAS yang mempunyai pelbagai agama dan kaum seterusnya bersatu hati dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.Inilah yang saya maksudkan sebagai 'Perpaduan Sejagat'!

Masyarakat UNIMAS yang sentiasa di hati,
Dalam konteks agama,Palestin mempunyai tempat yang sangat istimewa.Bukan sahaja Islam,bahkan agama Kristian dan Yahudi turut menganggap bumi Palestin adalah bumi yang sangat suci.Izinkan saya untuk memberi penerangan kesucian Palestin menurut kacamata Islam. Sebagaimana Ramadhan menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis di Palestin adalah simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia. Meskipun umat Islam berkumpul di Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal sebagai mereka boleh sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.

Begitulah umat Islam di seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekasih yang hanya boleh digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah dan solatlah di sana”.  Halangan untuk berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk lampu-lampunya”.

Misi yang dinamakan misi Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga orang anggota misi wanita dan seorang mahasiswa. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa wanita Palestin. Saya sebagai wakil mahasiswa akan memulakan gagasan 'Malaysian Youth On Gaza Mission' yang juga adalah harapan bersama 22 YDP MPP IPT Malaysia. Misi kali ini juga akan menziarahi Keluarga miskin yang ditaja oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin,projek kilang roti,ladang ternakan lembu tenusu,tajaan mikro kredit,tajaan anak yatim,tajaan keluarga miskin,bantuan hospital kanser Rantissi,berbuka puasa di kem pelarian dan banyak lagi.

Saya ingin memohon ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki jika saya telah banyak melukakan hati kalian.Sepanjang peninggalan saya ini,saya serahkan urusan MPP UNIMAS kepada Naib Yang Di Pertua MPP,Saudara Hwong Yie Hahn.Dalam kesempatan ini juga,saya merayu kepada masyarakat UNIMAS sekalian agar tidak memberi tekanan yang melampau kepada Saudari Jasmine Mazelan dalam isu Pengangkutan,Penempatan dan Keselamatan.Hal ini demikian kerana,beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh bersungguh-sungguh dan amanah.Saya juga menyeru agar kalian memberi sokongan sepenuhnya kpd Saudara Muhamad Ikram Jalil yang merupakan Pengarah MAP sesi ini dalam menjayakan MAP yang mempunyai LO Luar Biasa kali ini.Kalian perlu ingat,bahawa Saudara Muhamad Ikram Jalil menjalankan tugasnya dengan hanya menggunakan kudrat sebelah tangan kerana kemalangan yang ditimpanya sebelum cuti semester yang lepas belum lagi sembuh dan proses pemulihannya sangat panjang! Doakan agar saya sempat bersama kalian dalam meraikan kemeriahan Minggu Aluan Pelajar nanti.Jika Allah takdirkan saya tidak sempat bersama kalian,sampaikan salam saya kepada adik-adik baru kita dan ucapakan tahniah kepada mereka kerana telah terpilih menjejakkan kaki di 200 universiti terbaik Asia ini!

Saya sangat-sangat memerlukan doa dari kalian semua.Doakan misi ini berkat.

Saya akan berlepas pada jam 1045 am nanti dari KLIA-DOHA-EGYPT-LAND CONVOY-SEMPADAN RAFAH-GAZA, PALESTINE.

'Membudayakan Kesarjanaan Mahasiswa dan Perpaduan Sejagat'

Muhammad Mus'ab Muzahar
YDP MPP UNIMAS 2010/2011

Pengarah,
Malaysian Youth On Gaza Mission (MY Gaza Mission)

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...