Followers

Pages

Wednesday, September 21, 2011

Pengalaman Unik Memasuki Gaza Berseorangan Diri. (siri1)

 Pengalaman Unik Memasuki Gaza Strip,Palestine Berseorangan Diri.

Melepasi sekatan tentera..


Alhamdulillah, saya selamat tiba di Cairo International Airport pada 21/8/2011 jam 1620. Saya disambut oleh adik kandung saya yang belajar di Universiti Al Azhar,Mesir dan rakan-rakan daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia. Turut menunggu ketibaan saya ialah saudara Muhammad bin Kamal Hebawy, seorang rakan dari mesir yang ditugaskan untuk menemani saya ke sempadan Mesir-Rafah. Tanpa melengahkan masa, saya terus di bawa menaiki teksi dan meneruskan perjalanan ke Al Arish, sebuah perkampungan yang paling hampir dengan sempadan Mesir-Rafah. Jam saya menunjukkan jam 1.30 pagi waktu Malaysia. Tetapi waktu Mesir ialah 4.30 petang. Saya tersenyum. Sebenarnya saya sangat lapar kerana masih belum berbuka puasa semenjak bertolak dari Malaysia. Saya mengharapkan mereka berhenti untuk berbuka puasa. Rupa-rupanya perjalanan ke Al Arish yang mengambil masa selama 5 jam itu diteruskan dan kami hanya berbuka dengan kurma-kurma yang dilemparkan oleh sukarelawan-sukarelawan ditepi jalan.

Malam itu kami menginap di sebuah hotel bajet. Perjalanan diteruskan pada keesokan paginya dengan menaiki sebuah teksi panjang yang mampu memuatkan 9 orang penumpang. Tiba-tiba teksi berhenti secara mengejut dan mengarahkan saya dan Muhammad turun. Jauh dari pandangan, saya melihat pagar yang besar dan kekuningan. Pagarnya tertutup rapat. Saya makin bimbang. Kami diarahkan untuk berjalan kaki untuk sampai ke Pagar Sempadan Mesir dan Rafah ini. 

Perkara yang paling merunsingkan saya ialah bagaimana utntuk berjumpa dengan 10 aktivis Aqsa Syarif yang telah berjaya melepasi sempadan rafah lebih awal daripada saya. Memandangkan saya terlewat 1 hari, saya terpaksa memasuki sempadan Rafah ini berseorangan diri. Saya sebenarnya sedah terputus hubungan dengan aktivis yang lain memandangkan no Celcom saya sudah tidak dapat digunakan dan no Mesir yang diberikan oleh adik saya juga tidak dapat digunakan sebaik sahaja tiba di sempadan mesir-Rafah. 

Perkara yang turut terlintas dalam fikiran saya ialah mengenai situasi yang tidak menentu yang berlaku di Semenanjung Gaza ini. Pada Khamis 18hb Ogos, 2 hari sebelum saya bertolak, tentera Israel telah mengebom sebuah rumah di Rafah dan telah mengorbankan 6 orang awam. Sukar untuk saya membayangkan apa yang bakal saya hadapi memandangkan Rafah adalah kawasan pertama yang bakal saya lalui sebelum Khan Younis, Gaza City dan seterusnya.

Saya nekad. Walau apa pun yang berlaku, saya mesti melangkah masuk ke Palestin. Saya menggalas amanah yang sangat besar. Saya satu-satunya mahasiswa dalam kalangan aktivis Aqsa Syarif ini. Mereka memilih saya kerana saya sedang memulakan inisiatif ‘Malaysian Youth On Gaza Mission’. Satu program kolaborasi 22 orang YDP MPP IPT di Malaysia. Di tangan saya sekarang terdapat 22 helai surat sokongan dan harapan para YDP/Presiden Majlis Perwakilan Pelajar seluruh IPTA dan 2 IPTS untuk diberikan kepada mahasiswa di Semenanjung Gaza ini. Program ini adalah inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (MPP UNIMAS),Jemaah YDP MPP IPT Malaysia dan Aqsa Syarif Berhad. Saya mesti sampaikan surat ini kerana saya mewakili mereka semua. Terdetik dalam hati saya. Bukankah jika saya mewakili mereka semua, saya juga mewakili seluruh mahasiswa di university-universiti yang ditadbir oleh mereka.? Sungguh besar amanah yang saya galas ini. Semoga Allah member saya kekuatan.

Kami tiba dihadapan pagar sempadan Mesir-Rafah. Saya melihat suasana yang sangat menyayat hati. Kelihatan ramai rakyat Palestin memegang pagar yang tertutup rapat. Mereka merayu untuk keluar bagi mencari bahan asasi bagi meneruskan kehidupan. Tidak kurang juga yang merayu untuk masuk ke dalam palestin bagi berjumpa sanak saudara yang berada di Palestin. Tiba-tiba Muhammad berbisik kepada saya “Sampai di sini sahaja saya boleh teman kamu. Saya dah tak boleh melangkah masuk. Saya tidak ada passport dan saya tidak pernah masuk ke Palestin !” Kata-kata Muhammad ini hampir membuatkan jantung saya berhenti berdegup. Saya merenung dua anak mata nya. Saya tidak mampu berkata apa-apa kerana saya beranggapan bahawa beliau yang akan membawa saya masuk ke palestin dan menemukan saya dengan aktivis yang lain. Mimpi ngeri seolah-olah menjadi realiti. Saya bukan tidak biasa untuk berseorangan dalam mana-mana perjalanan sebelum ini. Tetapi berseorangan untuk memasuki palestin adalah diluar jangkaan dan tidak pernah terlintas dalam kamus hidup saya. Konvoi Viva palestina sebelum ini pun, memasuki Palestin dengan puluhan van, konvoi Flotilla LifeLine for Gaza memasuki Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan puluhan kapal, malah aktivis Aqsa Syarif pada hari sebelumnya memasuki Gaza dengan 2 van khas malah dengan iringan pegawai yang bersenjata khusus bagi menjaga keselamatan mereka !
Saya berpelukan dengan Muhammad sebagai tanda perpisahan kami. Muka Muhammad penuh dengan kedukaan mempamerkan kekecewaan dan kebimbangan beliau terhadap keselamatan saya. Dengan nama Allah, saya melangkah masuk melepasi sempadan Mesir-Rafah. Sebenarnya, masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Hal ini demikian kerana, sebelum ini, saya boleh berbalas mesej dengan ketua konvoi, Prof Madaya Dr Zin Kandar. Tetapi saat ini, tidak tahu dimanakah puncanya, sampai saat ini, saya tidak boleh berhubung dengan beliau menyebabkan saya tidak tahu kemana arah tuju saya selepas memasuki Semenanjung Gaza ini. Adakah saya akan ke Rafah? Adakah saya akan ke Khan Younis? Adakah saya akan ke Gaza city? Dimanakah 10 aktivis lain berada sekarang?

Saya tiba di imigresen Rafah-Mesir. Kelihatan barisan yang sangat panjang. Rakyat Palestin beratur dengan sabar bagi menunggu passport mereka diperiksa. Saya turut beratur. Hanya Allah yang tahu betapa berdebar nya hati ini kerana passport saya sekarang adalah passport yang baru setelah passport saya dicuri 5 jam sebelum berlepas dari Malaysia tempoh hari. Oleh hal yang demikian, no passport ini adalah berbeza dengan no passport yang telah dimaklumkan oleh Wisma Putra Malaysia kepada Kedutaan Malaysia di Mesir dan Kementerian Luar Mesir pada 1 bulan yang lepas. Saya bimbang, perubahan ini akan membuatkan saya tidak dibenarkan memasuki Palestin. Tiba-tiba air mata saya berlinang. Mengenang semua ujian yang Allah telah berikan kepada saya. Seolah-olah satu isyarat daripada illahi “Bukan mudah untuk memasuki palestin dan bukan semua orang layak memasukinya”. Sudah 1 jam saya menunggu dan berbaris. Tiba-tiba bahu saya disentuh. Saya didatangi seorang lelaki yang sasa badannya, bermisai kumis dan mancung hidungnya. Gayanya seperti pegawai di imigresen tersebut. Dia meminta passport saya. Saya teragak-agak untuk berikan memandangkan saya saya sudah merasai keperitan ‘hilang passport’ bebrapa hari yang lepas.  Katanya, dia diminta oleh Dr Kamal Hebawy untuk membantu meluluskan passport saya.  Mata saya bersinar ! Alhamdulillah..! saya terus memeluknya! Dan dengan lembut dia bisikkan di telinga saya “Welcome to the largest open prison on this earth. Allaahu yu ba rik fiih” Kata-kata tersebut membuatkan air mata mengalir dengan deras. Dengan izin Allah, bantuan tersebut telah memudahkan saya untuk terus melepasi barisan yang sangat panjang..

Walaubagaimanapun, sahabat baru saya ini turut tidak mengetahui dimana 10 aktivis yang lain berada. Jadi, beliau minta saya naik bas ke Gaza City. Menurut beliau, dalam masa 45 minit, saya akan sampai ke Gaza City. Saya berulang-ulang kali bertanya kepadanya “Adakah kawan saya akan menunggu saya setibanya saya di Gaza City?” dan jawapan beliau tidak pernah berubah. Dengan senyuman “Allah akan menolong anda.InsyaAllah” Hanya 1 bas disediakan untuk ke Gaza City. Sedangkan ratusan rakyat palestin menunggu untuk pulang ke rumah masing-masing. Dengan kudrat yang ada, saya Berjaya menempatkan diri dan duduk dalam bas tersebut. Di belakang bas ini, terdapat satu lori yang membawa beg semua penumpang bas ini. Beg-beg saya juga turut berada dalam lori tersebut.Dalam perjalanan, saya melihat signboard ‘Welcome to Palestine’. Hati ini cukup sayu dan bertuah dengan nikmat yang telah Allah berikan. Nikmat untuk menjejakkan kaki ke dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia ini. Baru 10 minit perjalanan, bas tiba-tiba berhenti. Saya terpinga-pinga. Rupa-rupanya, setiap penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan imigresen sekali lagi. Tetapi kali ini ialah imigresen palestin. Saya lihat, semua penumpang tidak mengambil beg-beg mereka menandakan selepas pemeriksaan, kami akan menaiki bas ini semula. 

Banyak perkara terlintas dalam benak fikiran saya. Dimanakah 10 orang aktivis lain berada sekarang? Bagaimana jika mereka bukan berada di Gaza City? Jika saya sampai di Gaza City, bagaimana saya mahu menghubungi mereka? Adakah mereka sedang tunggu saya di stesen bas Gaza City? Di imigresen tersebut, semua orang pelik melihat saya. Malah, pegawai yang bertugas di kaunter bertanya “kamu dari Malaysia? Apa yang kamu buat disini? Kamu tahu tempat ini sangat bahaya?” saya hanya tersenyum. Seterusnya, dia cop dengan perkataan “RAFAH” pada passport saya. Saya bangun dan terus menuju semula kearah bas.
Dalam perjalanan menuju kea arah bas, saya sempat berbual dengan seorang pemuda yang merupakan graduan daripada Universiti Islam Gaza. Dia ingin menemani saya untuk naik bas dan memastikan keselamatan saya. Tanpa membuang masa, saya terus bertanya kepada dia mengenai aktivis Aqsa Syarif. Saya mengharapkan agar dia mengetahui tempat mereka berada. Dalam masa yang sama, kaki saya dah melangkah masuk ke dalam bas. Dan bas sudah mahu bergerak. Tiba-tiba dia tarik tangan saya. Beliau bertanya semula kepada saya “Prof Dr Zin Kandar? U with Dr Zin Kandar? i know him ! I know where is he now ! But he is not in Gaza City! ” Saya sangat terkejut.Hal ini bermaksud saya tidak sepatutnya naik bas ini. Bas ini menuju ke Gaza City ! Saya terus meminta pemandu bas tunggu saya mengambil semula beg-beg dari lori belakang. Sahabat baru saya ini terus membawa saya naik keretanya dan menuju ke Khan Younis !
Saya beristighfar berkali-kali. Tiba di Khan Younis, saya bertembung dengan sebuah van. Kereta kami berhenti. Begitu juga dengan van tersebut. Pintu van tersebut dibuka. Kelihatan Prof Madya Dr Zin turun dari van tersebut. Begitu juga dengan aktivis yang lain. Mata saya tergamam. Saya terus meluru kearah mereka. Dan kami berpelukan !! Dr Zin peluk saya dan bisikkan di telinga saya “Allah uji enta untuk mantapkan enta.Enta dah masuk Gaza berseorangan, selepas ini mudah untuk enta bimbing rakan-rakan mahasiswa yang lain” Puan Azian, salah seorang aktivis Aqsa Syarif berkata “Ya Allah, sampai jugak kamu kat bumi suci ini,doa ibu kamu dimakbulkan oleh Allah,menangis-nangis ibu kamu tau masa passport kamu hilang dan kamu tak de kat airport semasa kami berlepas tempoh hari!” Saya sujud syukur. Kita merancang, tetapi Allah jua yang Maha Merancang !

Bersambung...






5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...